Lebih banyak kekayaan Asia Tenggara mengalir ke Hong Kong

Lebih banyak kekayaan Asia Tenggara mengalir ke Hong Kong


Kuala Lumpur: Dalam suasana ketidaktentuan ekonomi dan sosial yang melanda pelbagai rantau, individu ultra kaya dan keluarga berada di Asia Tenggara semakin melihat Hong Kong sebagai pelabuhan strategik untuk pengurusan kekayaan, perancangan legasi dan kepelbagaian risiko.

Kedudukan Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa terkemuka di Asia dan pusat pengurusan aset serta kekayaan rentas sempadan utama rantau in, disokong oleh rangka kerja kawal selia yang mantap serta pelbagai peluang pelaburan, menjadikannya destinasi pilihan bagi strategi pemeliharaan kekayaan berprestij.

Hanya empat jam penerbangan dari Kuala Lumpur, warisan lebih satu abad Hong Kong sebagai pusat penting legasi kekayaan keluarga terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman.

Persekitaran pengurusan aset pelbagai

Dengan aset di bawah pengurusan melebihi HK$35 trilion (RM19 trilion) serta lonjakan aliran masuk dana bersih sebanyak 81 peratus pada 2024, Hong Kong kekal menarik minat pelabur global yang mencari pasaran stabil dan berprestasi tinggi.

Pada masa sama, pasaran modalnya kekal antara yang paling rancak di dunia. Dalam separuh pertama tahun 2025, bandar ini berjaya mengumpul HK$107.1 bilion (RM58 bilion) melalui IPO, sekali lagi meraih gelaran pusat penjanaan dana utama dunia.

Syarikat gergasi China seperti Alibaba, Tencent dan Xiaomi memilih untuk disenaraikan di Hong Kong, mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk kepada sektor pertumbuhan tinggi di China.

Setakat ini, 11 platform dagangan aset maya telah diluluskan manakala Rang Undang-Undang Stablecoin diperkenalkan bagi mengawal selia token berasas mata wang fiat, bukti komitmen Hong Kong terhadap inovasi yang selamat.

Bagi pelabur Malaysia yang mahu pendedahan kepada sektor AI, robotik, bioteknologi dan infrastruktur digital, Hong Kong menawarkan platform yang bersedia untuk masa depan serta dikawal selia dengan baik.

Stabil dan pasti

Dolar Hong Kong telah diikat dengan dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 1983, memberikan kestabilan kadar pertukaran yang jarang ditemui di tempat lain.

Sistem perundangan Common Law, rizab perbankan yang kukuh serta dasar fiskal berhemat mengekalkan wilayah ini antara ekonomi paling berdaya saing di dunia.

“Saya melihat Hong Kong sebagai sebuah bandar yang menawarkan kestabilan, kebolehramalan dan persekitaran mesra perniagaan, elemen utama bagi mana-mana pejabat keluarga yang mencari asas kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang,” kata Naib Pengerusi Swarovski International Holding, Robert Buchbauer.

Paling penting, Hong Kong tidak mengenakan sekatan terhadap pemilikan asing atau pergerakan modal, begitu juga dengan mobiliti bakat, aliran barangan dan maklumat.

Keterbukaan ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu ekonomi paling kompetitif di dunia. Bersama sistem imigresen, monetari, fiskal dan percukaian yang bebas dan berdikari, status pelabuhan bebas ini menyediakan persekitaran ideal untuk pengurusan kekayaan antarabangsa.

Pangkalan strategik legasi jangka panjang

Kedudukan Hong Kong sebagai hab kewangan global diperkukuh oleh infrastruktur pasaran yang mantap, persekitaran kawal selia yang telus dan pembangunan berterusan dalam kewangan digital.

Bagi individu ultra kaya (UHNWIs), pemilik perniagaan keluarga dan keluarga berada, cabaran utama ialah memastikan aset, nilai, visi dan legasi keluarga dapat diwariskan dengan berjaya kepada generasi seterusnya.

Pejabat keluarga menyediakan pengurusan aset dan kekayaan yang disesuaikan dengan matlamat serta keperluan unik setiap keluarga.

Namun, nilainya melangkaui angka kewangan semata-mata. Pejabat keluarga yang tersusun rapi juga menawarkan perkhidmatan menyeluruh, daripada perancangan harta pusaka, pengoptimuman cukai dan perancangan penggantian hinggalah kepada usaha dermawan, perkhidmatan gaya hidup dan pendidikan.

Hong Kong kini menjadi pusat global pejabat keluarga dan menarik semakin menarik minta keluarga ultra kaya dari seluruh dunia.

Menurut kajian Deloitte 2023, lebih 2,700 pejabat keluarga tunggal telah ditubuhkan di Hong Kong.

Sejak pengumuman Ucapan Dasar 2022, pasukan FamilyOfficeHK di InvestHK telah memainkan peranan penting dalam menggerakkan momentum ini, dan Hong Kong dijangka mencapai matlamatnya lebih awal daripada jadual.

Kerajaan Hong Kong menegaskan komitmen untuk terus menyokong pembangunan sektor ini dan mengalu-alukan kehadiran pemilik aset global.

Ketika pelabur menavigasi pasaran global yang berubah-ubah, Hong Kong kekal sebagai platform yang stabil dan dipercayai untuk modal jangka panjang serta pengurusan kekayaan rentas sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top