Lebih RM1.69 juta barang dipos jemaah Malaysia

Lebih RM1.69 juta barang dipos jemaah Malaysia


MEKAH: Jemaah haji disaran mengepos segera barangan yang dibeli di tanah suci selewat-lewatnya sebelum hari Wukuf bagi mengelakkan kesesakan di dalam bilik penginapan serta bagi menumpukan ibadah haji semasa Masyair.

Pengurus Khidmat Luar Tabung Haji (TH), Mohamad Zamry Mohd. Noor berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, lima kaunter penghantaran yang disediakan TH mendapat sambutan menggalakkan dengan 85 tan barangan telah dipos bermula 29 April lalu.

“Jumlah nilai keseluruhan yang dicatatkan setakat 18 Mei lalu adalah sebanyak 1.5 juta Riyal Saudi (RM1.69 juta) yang dihantar oleh jemaah yang berada di tanah suci. Ada lagi jemaah yang belum datang.

“Bila pergi membeli-belah terus ke kaunter penghantaran di lobi-lobi bangunan penginapan, terus pilih kotak-kotak yang sesuai. Jadi, kalau setiap orang bawa barang ke dalam bilik, penuh sesak bilik,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Sebanyak lima syarikat dibenarkan beroperasi iaitu TH Travel & Services Sdn. Bhd., Pos Malaysia Berhad, FGV Transport Services Sdn. Bhd., MASkargo Logistics Sdn. Bhd. dan KTH Logistics Sdn. Bhd.

Di Madinah, perkhidmatan tersebut disediakan di Hotel Saja Al Madinah, Hotel Emaar Royal dan Anwar Al Madinah Movenpick, manakala di Mekah ia ditawarkan di Abraj Al Janadriyah, Qasar Janadriyah, Rehab Janadriyah, Abraj Al Tayseer, Diary Al Saad, Land Premium dan Al Fajar Al Badee 5.

Beliau memberitahu, jemaah boleh menghantar mushaf al-Quran melalui perkhidmatan pos dengan setiap mushaf dibungkus dan dilekatkan pelekat khas, serta dikendalikan secara berasingan bagi memastikan ia selamat dan terpelihara.

“Mengikut perjanjian antara TH dan syarikat penghantaran, setiap bungkusan dilindungi takaful serta dijamin sampai ke Malaysia. Jika berlaku kehilangan, syarikat bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada jemaah.

“Bagi barangan bernilai melebihi RM1,000, jemaah juga boleh memilih untuk mengambil perlindungan insurans tambahan dengan membuat bayaran kepada syarikat penghantaran berkenaan,” katanya.

Tambahnya, jemaah juga dilarang untuk mengepos air zamzam yang dikategorikan sebagai barangan larangan oleh Kerajaan Arab Saudi. – UTUSAN





Source link

OR