Leclerc ungguli GP Itali, Verstappen kecewa lagi

Leclerc ungguli GP Itali, Verstappen kecewa lagi


Monza: Charles Leclerc memenangi Grand Prix (GP) Itali hari ini sekali gus menggembirakan peminat Ferrari, manakala Lando Norris terus mengejar pendahulu kejuaraan pemandu, Max Verstappen.

Leclerc dari Monaco meraih kemenangan di Monza buat kali kedua selepas menang pada 2019, menewaskan gandingan McLaren, Oscar Piastri dan Norris, dalam perlumbaan yang mendebarkan di mana Verstappen menamatkan perlumbaan hampir 38 saat di belakang di tempat keenam.

Sorakan padu memenuhi ruang penonton ketika Leclerc melintasi garisan penamat selepas bertahan dengan tayar keras yang ditukarnya dalam satu-satunya hentian pit pada pusingan ke-16.

Semua pesaing utama Leclerc, kecuali rakan sepasukannya, Carlos Sainz yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat, melakukan dua hentian pit, dan McLaren berharap dua pemandu Ferrari itu akan melakukan perkara yang sama.

Namun, Leclerc berjaya mengekalkan keadaan tayarnya cukup baik untuk kekal di hadapan dan akhirnya menamatkan perlumbaan dengan selesa di depan Piastri.

Norris yang mencatatkan masa pusingan terpantas pada hujung perlumbaan, pastinya kecewa dengan keputusan itu selepas bermula di petak pertama.

Namun dia berjaya mengurangkan jarak dengan pendahulu kejuaraan, Verstappen kepada 62 mata dengan berbaki lapan perlumbaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top