Nmecha pastikan tiga mata buat Leeds di Elland Road, pada Selasa. Foto: Agensi
PENALTI minit ke-84 penghujung separuh masa kedua Lukas Nmecha menghadiahkan kemenangan sulung 1-0 buat Leeds United ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 di Elland Road, pada Selasa.
Tiga mata berharga itu hadir dalam perlawanan pertama Leeds kembali ke pentas EPL selepas dua musim beraksi di Liga Kejuaraan, sekali gus menjadi suntikan moral buat skuad kendalian Daniel Farke.
Leeds mempamerkan aksi dominan di babak pertama di depan penyokong sendiri apabila Joel Piroe hampir membuka tirai jaringan, namun percubaannya dinafikan ketangkasan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Sementara itu, skuad pelawat kendalian David Moyes pula buntu tanpa satu pun percubaan tepat sepanjang 45 minit pertama.
Everton cuba bangkit selepas rehat dengan kemasukan bintang pinjaman bernilai £100 juta (RM571 juta) dari Manchester City, Jack Grealish, namun mereka tetap gagal menyaingi intensiti permainan The Whites.
Gol kemenangan akhirnya terhasil enam minit sebelum tamat apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan James Tarkowski.
Nmecha, yang menyertai Leeds secara perpindahan percuma sebelum musim bermula, menyempurnakan tugasan dengan tenang untuk memastikan Elland Road bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah.
Farke mengakui beliau sempat ragu-ragu untuk membiarkan penyerang baharunya itu mengambil sepakan berkenaan.
“Lukas tenang, sejuk, dan buktikan kualiti. Mujur saya tidak menghalangnya,” katanya.
Sebaliknya, Moyes nyata kecewa dengan keputusan pengadil berkata:“Ia bukan penalti. Kami sendiri tidak bermain baik, tapi mutu pengadilan juga mengecewakan.”