Legenda All Blacks, Rodney So’oialo kemudi skuad ragbi Johor

Legenda All Blacks, Rodney So’oialo kemudi skuad ragbi Johor


SKUAD ragbi Johor memperkukuhkan persiapan menjelang Kejohanan Piala Agong 2025 apabila mengumumkan pelantikan bekas bintang All Blacks dari New Zealand, Rodney So’oialo, sebagai pengendali baharu pasukan.

Menurut Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU), Datuk Mohd Noorazam Osman, bekas pengendali skuad kebangsaan Bunga Raya 15s itu, dibawa masuk bagi mengetuai misi membawa pulang kejuaraan berprestij itu ke Johor.

“Dengan reputasi antarabangsa dan pengalaman luas yang dimiliki So’oialo dalam arena ragbi, pelantikannya dilihat sebagai langkah strategik oleh JRU.

“Sasaran kita adalah untuk membawa pendekatan yang lebih agresif selain melakukan persediaan awal sebagai tanda kesungguhan pasukan bagi memburu gelaran musim ini.

“Lagipun, persediaan awal dilihat penting agar pasukan benar-benar bersedia bagi mengharungi cabaran lebih getir musim ini,” katanya.

Mohd Noorazam (duduk, tiga kiri) pada majlis berkenaan.

Mohd Noorazam berkata demikian pada Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Import di Grand Paragon Hotel, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Ekmaludin Ishak dan Duta Sukan Johor merangkap legenda ragbi dunia, Sonny Bill Williams.

Pada majlis berkenaan juga, empat pemain import melibatkan Tamanitoakula Kolinio Yabia, Turuva Serupepeli, Revouvou Vatemo dari Fiji dan Jacob Henry Denyer (New Zealand) diperkenalkan kepada umum.

Sebelum ini, Johor pernah merangkul dua kejuaraan pada 2013 dan 2017, selain muncul naib juara pada 2024.

Sementara itu, Bill Williams berkata, dengan kombinasi kepimpinan berkaliber, pengalaman antarabangsa dan semangat baharu, Johor dilihat bersedia untuk kembali menjulang nama negeri di pentas ragbi kebangsaan.

Justeru katanya, kesemua pemain perlu sentiasa bersemangat bagi menghasilkan kejayaan yang diidam-idamkan.

“Setiap kejayaan besar bermula dari langkah kecil, tetapi bagaimana kita mencorakkannya akan menentukan kejayaan sebenar,” katanya.

Pasukan Johor dijadual membuka kempen Piala Agong 2025 menentang Pahang pada 6 September depan di Stadium Ragbi Johor.



Source link

OR

Scroll to Top