Tindakan Kompany (kanan) memasukkan Muller beberapa saat sebelum perlawanan ditamatkan tidak disenangi Matthaeus. Foto Agensi
LEGENDA Bayern Munich, Lothar Matthaeus mengkritik Vincent Kompany dan menuduh pengendali berusia 38 tahun itu cuba memalukan Thomas Muller.
Muller yang tampil lebih 700 kali buat Bayern sekadar melakukan kameo singkat ketika Bayern melayan kunjungan Celtic pada aksi kedua playoff Liga Juara-Juara (UCL) di Allianz Arena pada Rabu.
Dalam perlawanan itu, Muller dimasukkan bagi menggantikan Jamal Musiala ketika perlawanan berbaki 24 saat untuk ditamatkan.
Menurut Matthaeus, tindakan Kompany itu umpama menjatuhkan maruah Muller yang sudah dianggap sebagai ikon kelab.
“Ini sangat memalukan. Ia membuatkan saya sedih dan saya rasa kesian kepada Thomas.
“Thomas tidak perlu melalui semua itu. Dia adalah salah seorang pemain terbaik dan paling berjaya sepanjang zaman.
“Jadi untuk beberapa saat itu, jurulatih boleh memasukkan pemain lain.
“Saya rasa Thomas tidak menikmatinya. Untuk apa? Supaya dia dapat diiktiraf dengan satu lagi penampilan UCL?
Dalam perlawanan itu, Bayern layak selepas berhempas-pulas mengikat Celtic 1-1 untuk mara ke peringkat kalah mati menerusi agregat 3-1.