DUNIA bola sepak dikejutkan dengan berita sedih pemergian bekas kapten FC Porto, Jorge Costa, pada usia 53 tahun akibat serangan jantung di pusat latihan kelab itu.
Pemergian beliau menandakan satu kehilangan besar, bukan sahaja buat FC Porto, tetapi juga komuniti sukan bola sepak Portugal secara keseluruhan.
Costa merupakan lambang kesetiaan dan kejayaan, menyertai akademi Porto sejak muda, telah membuat 324 penampilan untuk kelab itu dan memenangi 24 trofi sebelum meninggalkan kelab pada tahun 2005.
Antara pencapaian paling gemilang dalam kerjayanya ialah ketika beliau mengetuai pasukan Porto menjuarai Liga Juara-Juara UEFA pada tahun 2004 di bawah bimbingan pengurus legenda, Jose Mourinho.
Beliau juga pernah dianugerahkan Golden Ball Portugal sebagai pemain terbaik liga pada tahun 2000.
Kehilangan ini merupakan yang ketiga buat Porto pada musim panas ini, selepas pemergian tragis bekas pemain pinjaman, Diogo Jota, pada Julai lalu.
“Sepanjang hidupnya, baik di dalam mahupun di luar padang, Jorge Costa melambangkan nilai-nilai yang mentakrifkan FC Porto – dedikasi, kepimpinan, semangat dan semangat penaklukan yang tidak berbelah bahagi.
“Beliau meninggalkan kesan kepada generasi peminat,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Mourinho, yang kini mengendalikan Fenerbahce, tidak dapat menahan sebak dan memberi penghormatan kepada bekas kaptennya itu.
“Jika dia boleh bercakap dengan saya sekarang, dia akan berkata ‘lakukan sidang media kamu, esok main dan menangi perlawanan, lupakan saya’.
“Saya akan cuba melakukan tugas saya hari ini dan esok, dan kemudian saya akan menangis selepas itu,” luah Mourinho.
Rakan sepasukan yang lain turut berkongsi kesedihan mereka.
Deco, yang juga sebahagian daripada skuad juara Liga Juara-Juara Porto, menyifatkan Costa sebagai kapten legenda dan merujuk beliau dengan nama samarannya, ‘Bicho’.
“Hari ini, bola sepak Portugal dan FC Porto kehilangan salah satu simbol terbesarnya. Jorge Costa adalah penjelmaan semangat dan keazaman Porto. Seorang kapten legenda yang memberi inspirasi kepada kami semua,” kata Deco di Instagram.
Pepe, bekas rakan sepasukan yang lain, turut menyampaikan ucapan takziah.
“Takziah kepada seluruh keluarga anda. Dedikasi dan legasi anda akan sentiasa kekal dalam sejarah kemenangan FC Porto yang tiada tandingan, Jorge Costa,” tulis Pepe.
Selain kerjaya gemilang bersama Porto, Costa juga merupakan pemain antarabangsa Portugal dengan 50 kaps.
Beliau pernah dipinjamkan ke Charlton Athletic dalam Liga Perdana Inggeris pada musim 2001/02.
Alan Curbishley, bekas pengendali Charlton, menyifatkan Costa sebagai seorang yang hebat, yang sentiasa menyampaikan pandangannya dan dihormati oleh semua orang kerana kebolehannya.
Selepas bersara sebagai pemain pada 2006, Costa meneruskan kerjayanya sebagai pengendali dan telah membimbing 16 pasukan sebelum mengambil alih peranan sebagai pengarah Porto pada musim lalu.
Beliau pernah membimbing pasukan di Portugal, Romania, Cyprus, Tunisia, India dan Gabon.
Kelab Braga, yang merupakan kelab pertama yang dibimbing Costa, menyatakan bahawa pemergiannya telah menggemparkan seluruh komuniti sukan kebangsaan.
“Braga turut berkongsi kesedihan yang amat besar yang dirasakan oleh keluarganya, rakan-rakannya dan seluruh organisasi FC Porto,” kata kelab itu di platform X.