Legenda ragbi Sonny Bill Williams kini Duta Sukan Johor

Legenda ragbi Sonny Bill Williams kini Duta Sukan Johor


JOHOR BAHRU – Usaha Johor untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia mendapat suntikan baharu apabila legenda ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams diumumkan sebagai Duta Sukan Johor.

Williams atau nama Islamnya, Hamzah menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan besar dan sedia membantu Johor melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Saya percaya sukan mempunyai kuasa mengubah kehidupan, membentuk keperibadian dan menyatukan masyarakat. Komitmen ini selari dengan visi kerajaan Johor.

“Jadi apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengajak saya untuk terlibat dalam pembangunan sukan di negeri ini, saya terus setuju,” katanya.

Williams (kanan) bersama Ekmaluddin ketika sidang akbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara MSNJ dan Williams sebagai Duta Sukan Johor, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Sonny Bill Williams pada Jumaat.

Hadir sama Pengarah MSNJ, Ekmaluddin Ishak; Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad.

Pada masa sama, Williams yang juga juara Piala Dunia Ragbi dan bekas peninju profesional berkata, pihaknya sedia berkongsi pengalaman serta kepakaran yang dimiliki bagi memberi inspirasi kepada generasi atlet muda untuk berusaha gigih mencapai impian mereka.

“Melalui sesi latihan, program bimbingan serta pembangunan akar umbi, saya berharap dapat menyerap kepentingan disiplin, rasa hormat dan ketahanan diri dalam kalangan atlet muda.

“Realitinya bukan semua mampu mencapai cita-cita menjadi atlet bertaraf dunia, tetapi semua orang mampu menjadi versi terbaik diri mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Ekmaluddin berkata, Williams bakal memainkan peranan sebagai duta kecemerlangan dan disiplin sukan serta memberi inspirasi kepada atlet muda di seluruh Johor.

Ujarnya, Williams juga akan terlibat secara aktif dalam program pembangunan belia, klinik sukan dan inisiatif bimbingan bagi memupuk budaya sukan yang mantap di Johor.

“Beliau bukan saja membawa pengalaman luas dalam sukan elit tetapi juga nilai murni seperti disiplin, ketahanan dan kepimpinan.

“Pengaruhnya akan menarik lebih banyak perhatian kepada ekosistem sukan negeri, memberi inspirasi kepada atlet muda serta membuka peluang kerjasama antarabangsa yang dapat meningkatkan kedudukan Johor di arena sukan global,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top