Lelaki dakwa wang dirampas warga asing diminta buat laporan

Lelaki dakwa wang dirampas warga asing diminta buat laporan


am@hmetro.com.my

Seremban: Polis meminta individu terbabit dalam video tular pertikaman lidah membabitkan lelaki warga asing di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban – Kuala Pilah menghala ke Bukit Putus di sini, tampil bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, buat masa ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden berkenaan.

“Sehingga kini, tiada laporan polis yang diterima berhubung kejadian ini. Sekiranya berlaku kejadian jenayah, individu yang terbabit dalam kejadian ini diminta tampil membuat laporan.

“Polis juga tidak pasti kejadian yang berlaku kerana video hanya dirakam di hujung kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu dalam video yang berdurasi 41 saat menunjukkan sebuah pacuan empat roda yang mengalami kerosakan di bahagian hadapan di sebuah stesen minyak

Pada kapsyen tertulis pemandu pacuan empat roda memaklumkan wangnya dirampas sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang menaiki Proton X50.

Rakaman itu memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu pacuan empat roda bertikam lidah dengan seorang lagi individu dan berlaku aksi tarik-menarik baju.

Kemudian lelaki dipercayai warga asing dirakam melarikan diri ke arah hadapan Proton X50 sebelum kenderaan uliti sukan (SUV) itu beredar dengan keadaan but belakang terbuka.

Difahamkan, SUV dipandu melawan arus, dan dikejar Mitsubishi Triton itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top