Seoul: Seorang lelaki yang membuka pintu pesawat ketika pesawat itu masih dalam penerbangan, diperintahkan membayar 727 juta won (kira-kira RM2.4 juta) pada 5 September lalu sebagai ganti rugi kepada syarikat penerbangan berkenaan.
The Korea Herald melaporkan, lelaki berusia 30-an itu disabitkan bersalah atas pertuduhan pada November tahun lalu, kerana membuka pintu kecemasan sebelum waktunya ketika pesawat Asiana Airlines sedang bersiap sedia untuk mendarat, pada ketinggian kira-kira 213 meter (m) hingga 243 m.
Keputusan pada 5 September lalu adalah untuk menentukan pampasan, berikutan perbicaraan jenayah yang diputuskan oleh Hakim Chae Seong-ho dari Bahagian Sivik ke-12 Mahkamah Daerah Daegu.
Pesawat itu membawa 197 penumpang dari Pulau Jeju ke Daegu pada 26 Mei 2023, termasuk murid yang menghadiri Pesta Sukan Remaja Kebangsaan diadakan di Ulsan.
Seramai sembilan daripada murid sekolah rendah mengalami kesukaran bernafas dan serta-merta dibawa ke hospital sebaik pesawat mendarat.
Lelaki yang ditahan di tempat kejadian itu kemudian dihukum penjara tiga tahun, tidak dibenarkan menaiki pesawat selama lima tahun dan diperintahkan menjalani pemeriksaan serta rawatan mental.
Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan menganggarkan kerosakan harta benda sebanyak 640 juta won (kira-kira RM2.1 juta) kerana kejadian menyebabkan berlaku kerosakan pintu kecemasan dan gelongsor.
© New Straits Times Press (M) Bhd