KOTA BHARU: Selepas dua tahun menikmati hasil daripada aktiviti menyeludup bahan bakar bersubsidi ke negara jiran, seorang lelaki akhirnya dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di pangkalan haram Zink Merah, Lubok Gong di sini hari ini.
Suspek berusia 24 tahun itu dicekup pada pukul 1.30 petang menerusi rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil soal siasat awal sispek mengaku terlibat dengan aktiviti penyeludupan minyak petrol hampir dua tahun lalu.
Katanya, suspek mengaku mengisi minyak di setiap stesen minyak sekitar kawasan Kota Bharu, yang tidak dikawal oleh anggota penguat kuasa.
“Suspek membuat isian sekali sehari bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa atas kesalahan membeli minyak berulang kali di stesen minyak yang sama.
“Menurut suspek bahan bakar itu dikumpul dan kemudian dihantar ke pengkalan haram. Bahan bakar itu kemudian disedut dari dalam tangki kereta ke dalam tong-tong plastik sebelum diseludup ke Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam kawasan pangkalan haram itu membawa kepada penemuan 270 liter petrol.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN






