Lelaki didakwa cabul kehormatan nenek muda ketika tidur

Lelaki didakwa cabul kehormatan nenek muda ketika tidur


MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, atas dakwaan cuba mencabul kehormatan seorang pelancong wanita berpangkat nenek di sebuah hotel bajet di sini minggu lalu.

Tertuduh, Ridhwan Shah Abdullah, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 44 tahun dengan cara menarik seluar wanita itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu dilakukan di bilik bernombor sebuah rumah tamu di Jalan Tukang Emas, Jonker Walk dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 2.57 pagi 19 Oktober 2024.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ketika kejadian pengadu bersama anak perempuan dan cucunya berusia tiga tahun tidur dibilik berkenaan yang tidak dikunci untuk memudahkan suaminya yang menginap di bilik berasingan dan tidak dilengkapi tandas menggunakan kemudahan itu di biliknya.

Bagaimanapun ketika sedang tidur, tertuduh telah memasuki bilik wanita itu dan naik ke atas katil dalam keadaan bogel sebelum cuba melondehkan seluarnya.

Pengadu yang pada mulanya menyangka tertuduh adalah suaminya kemudian menolak badan lelaki itu dan menjerit menyebabkan anak perempuannya tersedar dan terus membuka lampu.

Lelaki itu bagaimanapun menutup semula lampu dan menyuruh pengadu dan anak perempuannya diam sebelum wanita itu menjerit memanggil suaminya menyebabkan tertuduh memakai semula seluarnya dan melarikan diri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia tidak sedar ketika kejadian berlaku.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula 5 Disember ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top