am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabii terhadap isterinya tanpa kerelaan, dua tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 30-an bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa di rumah di Marang pada 11 malam 2 Disember 2024 dan 10 malam 4 Disember 2024.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asymawi Ghazali dan tertuduh diwakili peguam Mohd Hazrin Alif Wahab.
Mahkamah menetapkan 23 September untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 15 haribulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
