am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Menyamar sebagai penghantar makanan dengan memakai baju seragam e-hailing sebelum memecah masuk rumah yang disasar.
Itu modus operandi seorang lelaki bagi melakukan jenayah secara solo.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kegiatan suspek, 49, tumpas apabila ditahan di kawasan perumahan di Taman Austin Perdana, Khamis lalu.
Menurutnya, dia berjaya dijejaki hasil risikan dan maklumat awam berkaitan beberapa kes jenayah di kawasan Bukit Indah.
“Suspek akan pantau terlebih dahulu di kawasan yang menjadi sasaran dan dia memakai baju penghantar makanan, sebelum melakukan jenayah.
“Hasil siasatan, suspek dipercayai aktif sejak pertengahan tahun ini dan sasarannya adalah rumah tidak berpenghuni, dia masuk melalui tingkap tepi rumah yang diumpil dengan peralatan dibawanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kumarasan berkata, polis merampas tiga alat kawalan jauh kenderaan, dua telefon bimbit, satu kad akses rumah, sebuah komputer riba, kamera papan pemuka, jam tangan, topeng muka, jaket, kasut, topi keledar serta lima beg pelbagai jenis.
Katanya, turut dirampas dua pasang sarung tangan, tiga keping nombor pendaftaran kenderaan, sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, sebuah kereta, tiga alat permainan video serta pelbagai peralatan pecah rumah.
“Suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, malah ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine,” katanya memaklumkan suspek direman enam hari sejak 26 Dis lalu hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun sama.
Menurutnya, penahanan suspek menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di sekitar Bukit Indah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






