Lelaki ditikam kerana minta rakan pulangkan motosikal dipinjam

Lelaki ditikam kerana minta rakan pulangkan motosikal dipinjam



mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Selisih faham dengan rakan berkaitan motosikal dipinjam tidak dipulangkan menyebabkan seorang lelaki cedera ditikam kenalannya itu di Semenyih, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihak Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima maklumat awam mengenai lelaki berusia 23 tahun yang cedera ditikam di sebuah pangsapuri pada 2.51 petang dan dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian akibat selisih faham antara mangsa berusia 23 tahun dengan seorang rakannya apabila suspek gagal memulangkan motosikal mangsa yang dipinjam, bulan lalu.

“Semasa pertemuan di rumah kakak mangsa, akibat dimarahi, suspek mengambil pisau di dapur rumah dan mengejar lalu mencederakan mangsa.

“Pemeriksaan dapati mangsa mengalami kecederaan tiga kesan tikaman di bahagian belakang pinggang dan satu lagi di bahu sebelah kiri.

“Bagaimanapun, mangsa yang dalam keadaan sedar dan stabil, kini ditahan di Wad Hospital Kajang bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau kedua-duanya sekali.

“Suspek sedang dikesan bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian itu atau maklumat berkenaan suspek boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top