Pacitan, Indonesia: Didakwa sakit hati selepas mengetahui bekas isterinya merancang untuk berkahwin lain, seorang lelaki tergamak menyerang keluarga mentuanya sehingga menyebabkan seorang maut, lapor Kompas.
Dalam kejadian di Pacitan, Jawa Timur pada Sabtu lalu, bekas bapa mentua suspek maut di lokasi kejadian.
Mangsa, Timi, maut akibat luka kelar di leher selepas diserang menggunakan senjata tajam berupa sebilah sabit.
Serangan itu turut menyebabkan empat lagi ahli keluarga termasuk bekas ibu mentua dan iparnya parah.
Kesemua mangsa yang cedera segera dikejarkan ke Hospital Besar Daerah Dr Darsono Pacitan untuk menerima rawatan rapi.
Suspek yang dikenali dengan nama AS dipercayai menyerang keluarga itu empat bulan selepas bercerai dengan isterinya, M.
Ketua Desa Temon, Jamiatin, mengesahkan kejadian itu dan menyatakan bahawa penduduk kampung masih dalam keadaan terkejut.
Menurut Jamiatin, penduduk tidak menyangka kejadian sekejam itu akan berlaku kerana mangsa yang maut dikenali sebagai seorang yang baik dan ramah.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa keselamatan dengan bantuan penduduk kampung melancarkan gerakan memburu suspek.
“Sejak malam tadi, anggota tentera dan polis bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan hutan sekitar desa,” katanya.
Pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak bertindak sendiri sebaliknya segera melaporkan jika mempunyai maklumat.
Sehingga kini, suspek masih bebas dan giat diburu polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd