am@hmetro.com.my
Seremban: Lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbakar selepas melanggar lori rosak di lorong kecemasan di Kilometer 264.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian dilapor berlaku pada 5.30 petang dengan lori berkenaan dikatakan mengalami masalah enjin dan berhenti di lorong berkenaan.
“Penunggang motosikal berumur 38 tahun dalam perjalanan dari Johor menghala ke Perak, manakala lori dipandu lelaki 27 tahun dari arah Melaka menuju ke Banting, Selangor.
“Apabila tiba di tempat kejadian, lori berkenaan dikatakan berhenti di lorong kecemasan kerana masalah enjin, namun beberapa minit kemudian datang motosikal dari arah belakang, melanggar bahagian belakang lori.
“Pelanggaran menyebabkan motosikal terbakar dan penunggangnya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






