am@hmetro.com.my
Baling: Lelaki nyaris rentung apabila dia sempat keluar menyelamatkan diri sebelum kereta utiliti sukan Peugeot miliknya musnah terbakar di Jalan Tawar – Kulim di sini malam tadi.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 37 tahun itu tidak mengalami kecederaan, manakala kenderaannya itu musnah 95 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.55 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota diketuai Izi Mohamad Yunus Ali tiba di lokasi bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setibanya di lokasi, didapati kenderaan itu terbakar dan api marak.
“Berdasarkan maklumat daripada mangsa, dia memandu kenderaan itu seorang diri menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, dia terhidu bau hangit sebelum terdengar letupan kecil di bahagian hadapan keretanya menyebabkan dia nekad keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, bomba menggunakan ‘foam’ untuk membantu memadam kebakaran itu dan polis turut membantu mengawal lalu lintas bagi mengelak berlaku kesesakan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadam kebakaran itu.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan. Punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd