am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Cubaan seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk masuk ke negara ini dengan menaiki bot untuk menyeberang Sungai Golok tidak berjaya apabila ditahan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) Tentera Darat Malaysia (TDM), semalam.
Lelaki Pakistan berusia 31 tahun itu ditahan berdekatan Sungai Golok di sini, pada 11.15 pagi.
Dua Divisyen dalam satu kenyataan berkata, pasukan operasi terserempak dengan dua lelaki yang sedang menyeberangi Sungai Golok dari sebelah Thailand menuju ke sempadan Kelantan.
Katanya, apabila diserbu, seorang daripada lelaki itu berjaya melarikan diri dengan menyeberangi semula Sungai Golok untuk kembali ke Thailand dan meninggalkan seorang lelaki.
“Hasil pemeriksaan, didapati lelaki yang tertinggal itu adalah warganegara Pakistan dan mempunyai pasport Pakistan yang sah sehingga 2027. Lelaki itu mendakwa berada di Malaysia sejak 2019 dan bekerja di Kuala Lumpur.
“Pada 2023, lelaki itu kembali ke negaranya dan cuba untuk kembali semula ke Malaysia melalui Thailand sebelum masuk melalui jalan yang tidak sah iaitu dengan merentasi Sungai Golok,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, sebuah telefon bimbit, jam tangan, beberapa keping mata wang Thailand, Pakistan dan Amerika Syarikat serta barangan milik peribadi dengan nilai keseluruhan RM6,352.65 dirampas daripada lelaki terbabit.
Pada perkembangan yang lain, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki cuba menyeludup minyak petrol ke sempadan Thailand, pada 12.35 tengah hari semalam.
Katanya, pihaknya merampas sebuah kereta, beberapa barangan peribadi serta 20 tong berisi minyak petrol 600 liter dengan nilai keseluruhan RM11,680.
“Warganegara Pakistan dan lelaki tempatan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, manakala minyak petrol akan diserahkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd