am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemandu yang dikesan memandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama, di sini, seperti tular di media sosial sudah ditahan polis, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 32 tahun itu selepas individu itu datang ke pejabat JSPT Kuala Lumpur pada 8.35 malam.
Menurutnya, sebelum itu, pihaknya sudah pergi ke beberapa alamat kediaman yang diperolehi namun gagal mengesan suspek termasuk kediaman keluarganya.
“Siasatan awal mendapati suspek memandu secara melawan arus kerana tersalah jalan untuk menghala ke sebuah pusat beli belah.
“Ujian saringan pernafasan (EBA) dan air kencing dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki tempatan itu negatif bagi kedua-dua ujian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta di sini, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 9 pagi ini.
Semalam media melaporkan, polis sedang mengesan pemandu yang memandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama, di sini, seperti tular di media sosial hari ini.
Terdahulu, video berdurasi 40 saat memaparkan sebuah kereta dikesan memandu secara melawan arus. Kejadian dirakam seorang pengguna sebelum tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd






