Lelaki parah diserang buaya akibat limpahan tali air di Teluk Intan

Lelaki parah diserang buaya akibat limpahan tali air di Teluk Intan


am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Seorang lelaki cedera akibat dibaham buaya dalam kejadian di kawasan kebun di Kampung Sungai Buaya, di sini Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan pada lutut kiri.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff berkata, laporan kejadian diterima pihaknya jam 6.30 petang Sabtu lalu, dengan mangsa yang cedera kemudiannya dirawat di Hospital Teluk Intan.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemunculan buaya yang menyerang lelaki itu datang daripada limpahan dari tali air berdekatan susulan banjir yang melanda kawasan sekitar.

“Memang ada kes itu. Kita terima laporan jam 6.30 petang Sabtu lalu.

“Kemungkinan, buaya itu terlepas di situ disebabkan banjir, dan ya, ia kemunculan pertama buaya di kawasan berhampiran di situ,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, setakat ini tindakan yang diambil pihak Perhilitan adalah melakukan pemantauan di samping memasang papan tanda amaran.

Sejak semalam, tular di aplikasi WhatsApp mengenai seorang lelaki mengalami kecederaan serius susulan diserang buaya sewaktu sedang menjaring ikan di kawasan kebunnya di Kampung Sungai Buaya.

Berdasarkan tular itu, buaya dikatakan masuk melalui kawasan pintu air yang terdapat sekitar kawasan kampung yang mana ia didapati bersambung dengan Sungai Perak.

Pada jam 8 malam Sabtu lalu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan terdapat 11 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan banjir yang melanda daerah Hilir Perak yang kawasan Teluk Intan berada di dalamnya, membabitkan 1,950 mangsa daripada 587 keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top