mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Tindakan dua lelaki menyamun kedai serbaneka 24 jam di Subang Jaya, di sini, dengan melarikan nasi, sandwic dan wang tunai RM241 mengundang padah apabila ditahan polis dalam tempoh tidak sampai 24 jam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian 1.50 tengah hari itu, pekerja lelaki berusia 29 tahun didatangi dua lelaki, salah seorang masuk ke kaunter bayaran dan memaksa mangsa menyerahkan wang hasil jualan.
“Dalam ketakutan, mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak RM241 kepadanya. Suspek juga mengambil beg silang mangsa yang mengandungi dokumen peribadi, kunci kedai, dan kunci motosikal yang disimpan di bawah meja kaunter, dua bungkus nasi dan dua bungkus sandwic lalu melarikan diri menyebabkan kerugian RM260.
“Susulan itu, antara 8.45 malam hingga 9.30 malam kelmarin, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya, menahan dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun serta merampas barangan kes di rumah suspek di Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 4 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627222 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Fathurrahman Ampandi di talian 011-29395178.
© New Straits Times Press (M) Bhd