Lelaki separuh abad ditahan rakam anak jiran mandi

Lelaki separuh abad ditahan rakam anak jiran mandi


MELAKA – Seorang lelaki direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas dipercayai merakam anak gadis jirannya mandi minggu lalu.

Perintah reman terhadap peniaga lelaki berusia 54 tahun itu sehingga Sabtu ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Melaka, Loh Xian Yi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tindakan terkutuk lelaki itu disedari pengadu, wanita bujang berusia 27 tahun ketika sedang mandi di bilik air rumahnya di Taman Seri Duyong di sini pada pukul 9 malam 26 September lalu.

“Pengadu menyedari ada orang merakam ketika dia sedang mandi apabila ternampak kelibat tangan di tingkap bilik air sedang memegang telefon bimbit.

“Wanita bujang berusia 27 tahun itu terus menjerit dan memberitahu adik lelakinya yang kemudian keluar untuk memeriksa namun suspek telah melarikan diri,” katanya.

Tambahnya, selepas itu pengadu dan ayahnya melihat semula rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan terlihat kelibat suspek yang dipercayai adalah penduduk dikenalinya di taman berkenaan.

“Menerusi rakaman CCTV, suspek dilihat menceroboh dengan memanjat pagar di belakang rumah sebelum pengadu terus membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan aib diri serta keluarganya.

“Lelaki itu kemudian datang ke balai polis sebelum ditahan pukul 8.30 malam tadi dan direman tiga hari sehingga Sabtu ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan /14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top