SEREMBAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda sebanyak RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyimpan sembilan ekor burung bayan serindit (Loriculus galgulus) yang merupakan hidupan liar dilindungi.
Tertuduh, Hyedeir Abdul Majid 49, turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hakim, Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman terbabit selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri telah didapati menyimpan sembilan ekor burung bayan serindit (Loriculus galgulus) yang merupakan hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa suatu lesen.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis kediaman di Lorong Desa Orkid, Seremban lebih kurang pukul 3.45 petang pada 5 September 2019.
Oleh demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta 716 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) Akta yang sama.
Tertuduh tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberikan alasan tidak mengetahui burung tersebut di bawah perlindungan Perhilitan.
“Saya bermohon agar mahkamah dapat kurangkan jumlah denda kerana saya tidak bekerja kerana faktor kesihatan dan hanya bergantung dengan isteri sahaja,”katanya.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ain Nur Shainaz Abdullah bagaimanapun dalam hujahnya, memohon mahkamah mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh kerana menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen.
“Warganegara perlu cakna dengan peraturan dan undang-undang termasuklah undang-undang hidupan liar. Kejahilan tidak mengetahui burung terbabit di bawah perlindungan tidak boleh dijadikan alasan dan diterima sepenuhnya.
“Pastinya individu yang menyimpan burung serta habitat lain dan dijadikan sebagai hobi mengetahui isu-isu semasa. Namun jenayah hidupan liar dibiarkan dan mengakibatkan ekosistem semulajadi terjejas.
“Ini merupakan kesalahan serius dan wajar diberikan hukuman setimpal sekali gus dapat memberi mesej yang jelas kepada penjenayah di luar sana. – UTUSAN