am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Cemburu buta dipercayai punca seorang penganggur menekup muka teman wanitanya menggunakan bantal hingga mati sebelum mayatnya ditemui dalam rumah sewa di Taman Damai II, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, tindakan itu dilakukan suspek terhadap kekasihnya berusia 41 tahun selepas mengesyaki mangsa menjalin hubungan dengan lelaki lain.
Katanya, pembunuhan dilaporkan berlaku pada Selasa minggu lalu namun mayat mangsa ditemui di atas katil bersebelahan suspek yang kritikal akibat cedera parah.
“Suspek dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar leher dan pergelangan tangan kiri menggunakan senjata tajam selepas membunuh mangsa,” katanya tadi.
Shahrulanuar berkata, polis sudah merekodkan sebahagian keterangan daripada suspek bagi mengenalpasti motif sebenar motif pembunuhan itu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tadi, tempoh reman ke atas suspek berusia 44 tahun dilanjut enam hari lagi bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan tempoh reman dilanjutkan bermula semalam sehingga Selasa depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) tiba di perkarangan Mahkamah Batu Pahat pada jam 8.30 pagi dalam keadaan lehernya berbalut selepas cedera dalam cubaan membunuh diri.
Difahamkan kehilangan mangsa mencetuskan kegusaran ahli keluarganya yang gagal menghubungi mangsa sejak tiga hari.
Ahli keluarga mangsa kemudian meminta bantuan penyewa rumah untuk membuat pemeriksaan pada jam 12.30 tengah malam Khamis lalu.
Suspek ditemui dalam keadaan parah dengan kesan kelar di leher dan pergelangan tangan. Polis menemui mangsa dan suspek terbaring bersebelahan di atas katil dalam sebuah bilik.
© New Straits Times Press (M) Bhd





