am@hmetro.com.my
Tawau: Lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti riadah mendaki bukit berhampiran sebuah taman tema air dekat Hot Spring, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa berumur 65 tahun itu dilaporkan masuk ke kawasan hutan di situ berseorangan pada 4.30 petang sebelum dilaporkan hilang jam 6 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.26 malam sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, gerakan mencari dijalankan oleh sekumpulan orang awam pada 7 malam dan mangsa ditemukan terbaring di kawasan laluan denai kira-kira 8 malam.
“Pasukan bomba bergerak sejauh 1.5 kilometer dari jalan utama ke lokasi untuk mengangkat dan mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung yang turut dibantu oleh orang awam.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memaklumkan operasi ditamatkan jam 10.48 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd