Lembu 'bersepah', punca harga daging jatuh di Kelantan

Lembu 'bersepah', punca harga daging jatuh di Kelantan



am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Jual daging lembu pada harga murah susulan kurangnya permintaan selain lambakan lembu di negeri ini.

Itu antara pendekatan dilakukan penternak lembu, Mohd Alami Hamzah, 52, yang ‘menumbangkan’ enam lembu peliharaannya sebelum dagingnya dijual pada harga RM20 sekilogram.

Mohd Alami berasal dari Kampung Kubang Edang, Peringat, di sini, berkata, dia terpanggil untuk menjual daging lembu pada harga serendah itu disebabkan lambakan lembu dan permintaan terhadap ternakan itu dari negeri luar menurun.

“Sejak lebih sebulan lalu, ramai peniaga daging lembu menurunkan harga sekitar RM25 sekilogram berbanding RM30 hingga RM33 yang dijual sebelum ini.

“Bagaimanapun kebelakangan ini permintaan lembu tempatan berkurangan menyebabkan berlaku lambakan seterusnya peniaga terpaksa menjual pada harga lebih murah.

“Baru-baru ini saya sudah menyembelih dua ekor lembu dengan jualan daging RM25 sekilo dan jualan agak menggalakkan sebelum diteruskan lagi hari ini pada harga lebih murah,” katanya ketika ditemui di sini, tadi.

Mohd Alami berkata, proses penyembelihan dijalankan sejak jam 7 pagi semalam dan pembeli yang rata-ratanya penduduk setempat mula memenuhi wakaf yang dijadikan lokasi urusan jual beli.Menurutnya lagi, untuk daging dia menjualnya pada harga RM20 sekilo manakala perut lembu pula RM15 sekilo dan rata-rata pembeli sangat teruja dengan harga rendah yang ditawarkan itu.

“Saya tidak hadkan pembelian sebaliknya pembeli boleh menempah berapa kilo yang diinginkan malah ada yang membuat tenpahan menjangkau 50kg namun kebanyakannya sekitar dua hingga lima kg,” katanya.

Seorang pembeli, Hasnah Awang, 72, berkata, dia membeli daging lembu sebanyak 5kg dan menyifatkan harga RM100 adalah sangat murah jika dibandingkan harga sebelum ini.

Dia berkata, peluang mendapatkan daging lembu pada harga murah bukan selalu ada dan disebabkan itu dia membeli pada jumlah yang lebih meskipun untuk dimakannya empat beranak sahaja.

“Lagipun daging lembu boleh disimpan lama dalam peti ais jadi tak ada masalah jika dibeli lebih sekalipun, rugi kalau tak beli dengan harga murah begini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top