am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Seekor lembut jantan yang sedang menunggu giliran untuk disembelih di Masjid Al Mutaqqin Taman Ria di sini terlepas dan masuk ke dalam ruang masjid sebelum berjaya ditangkap tidak lama kemudian.
Anak qariah masjid berkenaan, Zyareff Syarzryll b Zulkiffli, 28, berkata, kejadian berlaku 10.30 pagi tadi ketika Aidiladha, hari ini.
Katanya, ketika itu mereka anak qariah masjid yang terbabit dalam penyembelihan hari ini sedang dalam proses melapah lembu keenam yang selesai disembelih.
“Mungkin lembu ketujuh itu nampak kami ramai di situ, ia terus melarikan diri sehingga masuk ke ruang masjid dan keluar semula di perkarangan masjid berkenaan.
“Kira-kira 20 anak qariah masjid yang turut serta dalam penyembelihan hari ini terus mengejarnya tetapi ada juga yang ditanduk lembu berkenaan.
“Bagaimanapun tiada kecederaan yang dialami dalam kalangan kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Zyareef, mereka terus mengejar lembu itu sebelum lembu itu jatuh dekat parit berhampiran masjid berkenaan.
Katanya, mereka berjaya mengikat tali pada lembu itu dan ikat di tiang lampu untuk mengelakkan ia lari.
“Kami terus panggil imam masjid untuk sembelih di situ juga kerana tak boleh bawa ia ke tempat sembelihan kerana takut ia lari sekali lagi.
“Lembu itu akhirnya berjaya disembelih dan dilapah tetapi kejadian ini agak unik bagi kami kerana terpaksa mengejar lembu dengan jumlah yang ramai,” katanya.
Zyareef berkata, hari ini jumlah keseluruhan lembu yang dikorbankan adalah sebanyak lapan ekor yang bermula pada jam 9.30 pagi tadi.
Katanya, dia tidak menyangka video yang dirakam dan ditular di media sosial turut mendapat perhatian ramai.
“Sebelum ini saya terbabit dalam misi penyembelihan korban di luar negara termasuk Nigeria dan Afrika kerana terbabit dalam pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Amal Malaysia ,tetapi tahun ini saya tak pergi.
“Tak sangka pula dapat melihat kejadian seperti ini, lembu lari sebelum disembelih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd