Lembu terperosok dalam but kereta selepas dilanggar

Lembu terperosok dalam but kereta selepas dilanggar



am@hmetro.com.my

Langkawi: Seekor lembu jantan terperosok dalam but kereta Proton Wira Aeroback selepas dilanggar kereta terbabit di Jalan Ulu Melaka di sini, awal pagi hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1 pagi, bagaimanapun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Video berdurasi 26 saat berkaitan kemalangan itu tular di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata ketika kejadian jam 1 pagi itu, kereta dipandu seorang lelaki yang juga pemandu pelancong berusia 26 tahun dari Jalan Ulu Melaka menghala ke Jalan Ayer Hangat.

“Sebaik tiba di tempat kejadian iaitu simpang tiga Jalan Ulu Melaka, sekumpulan lembu melintas dari kiri ke kanan jalan secara mengejut dan pemandu tidak sempat mengelak sebelum melanggar kumpulan lembu itu.

“Seekor daripada kumpulan lembu yang dilanggar itu melambung ke atas bumbung kereta sebelum terperosok dalam but kereta dipercayai akibat cermin belakang kereta pecah,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Shariman berkata, kemalangan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta Proton Wira Aeroback remuk, bumbung kemek dan cermin belakang pecah.

“Pemandu kereta dari Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat tidak cedera.

“Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top