Lengah daftar kelahiran akan susahkan kehidupan anak

Lengah daftar kelahiran akan susahkan kehidupan anak


KAJANG – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan orang ramai supaya menjadikan pengajaran kisah seorang ibu tunggal kepada empat orang anak yang mengalami kesulitan menguruskan kesemua anak-anaknya susulan tidak mempunyai dokumen kelahiran.

Menteri Dalam Negeri berkata, melengah-lengahkan pendaftaran kelahiran anak hanya akan menyukarkan kehidupan mereka dan anak-anak itu pada masa akan datang.

“Kita ambil episod ini sebagai pengajaran, kalau ada anggota masyarakat di luar sana yang melengah-lengahkan pendaftaran kelahiran, hendaklah sedar bahawa perbuatan seperti itu akan hanya menyusahkan kehidupan anak.

“Saya mengulangi komitmen Jabatan Pendaftaran, bahawa ikhtiar kami sedaya mungkin adalah untuk membantu masyarakat yang layak untuk memperolehi dokumen pendaftaran sesuai dengan prinsip dan lunas undang-undang…itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kelahiran dan MyKid kepada Hasmida Hamid, 33, ibu tunggal kepada empat orang anak yang mengalami kesulitan apabila salah seorang daripada anaknya berdepan masalah mendapatkan rawatan khusus di Hospital Kajang.

Mengulas lanjut, Saifuddin mengingatkan kepada pasangan yang melangsungkan pernikahan di luar negara untuk segera mendaftarkan perkahwinan mereka dengan segera di pejabat agama.

Katanya, kegagalan berbuat demikian hanya akan menyukarkan urusan apabila mereka memperoleh anak kerana sijil perkahwinan itu adalah rukun dalam menentukan status kewarganegaraan.

“Yang kedua adalah apabila berlaku kelahiran wajib segera untuk membuat pendaftaran.

“Kita ada 60 hari untuk mendaftar dalam tempoh itu…kalau tak dipenuhi, maka dia masuk kategori pendaftaran lewat.

“Sebab itu di Jabatan Pendaftaran Negara kita ada inisiatif JPN Mekar (program prihatin JPN) adalah satu inisiatif outreach program kami yang dibuat untuk menangani kes-kes yang macam ini,” ujarnya.

Terdahulu, kesulitan yang dialami Hasmida tular di TikTok bertarikh 18 Oktober lepas.

Kandungan video tersebut mendedahkan Hasmida telah ditemui bersama lima orang anaknya di Hospital Kajang.

Hasil temubual yang dilakukan mendapati wanita tersebut merupakan seorang warganegara Malaysia, namun, akibat kesusahan hidup dan masalah rumahtangga, empat daripada lima anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran.

Maklumat kelahiran empat orang anak Hasmida yang tidak mempunyai sijil kelahiran dikenal pasti adalah hasil daripada perkahwinan kedua beliau yang mana perkahwinan dilakukan di Thailand dan tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia.

Susulan itu, JPN Selangor telah mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi dan bertemu Hasmida pada 21 Oktober lalu untuk membantu mendaftarkan kelahiran anak-anaknya. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top