Lepas geram di Paris

Lepas geram di Paris


Arteta (dua dari kanan) menuntut kebangkitan menakjubkan daripada pemainnya pada perlawanan menentang PSG di Paris, Khamis ini.

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menggesa anak buahnya agar menjadikan perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) di Paris pada Khamis ini sebagai medan melepaskan geram selepas gagal mengutip tiga mata dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri.

Aksi EPL di Stadium Emirates pada awal pagi Ahad menyaksikan Arsenal mendahului hasil jaringan Declan Rice yang membuat penampilan ke-100 bersama The Gunners pada minit ke-34.

Namun, dua kesilapan mudah pada separuh masa kedua membolehkan Bournemouth bangkit menerusi jaringan penyamaan Dean Huijsen (m-67) dan gol kemenangan Evanilson (m-75)

Kekalahan itu menjejaskan persiapan mental The Gunners yang kini dalam misi sukar selepas tewas 0-1 kepada PSG di gelanggang sendiri minggu lalu.

Arsenal perlu bangkit dengan defisit satu gol dalam usaha melangkah ke final pertama mereka sejak tahun 2006.

“Kalau kami menang hari ini, ia akan beri lonjakan besar untuk perlawanan Khamis nanti.

“Tapi sekarang, kami hanya ada rasa marah, kecewa dan tidak puas hati.

“Kami mesti salurkan semua emosi itu untuk tampilkan aksi terbaik di Paris, menang perlawanan dan layak ke final,” kata Arteta.

Walaupun PSG sudah mengesahkan kejuaraan Ligue 1 dan merehatkan sebahagian besar pemain utama ketika tewas 2-1 kepada Strasbourg pada Sabtu, Arteta menjelaskan beliau tidak mempunyai banyak ruang untuk mengubah barisan pemain kerana Arsenal juga sedang bersaing dalam perebutan kelompok empat teratas liga.

Arsenal kini memerlukan sekurang-kurangnya enam mata daripada baki tiga perlawanan EPL untuk memastikan kelayakan automatik ke UCL musim depan.

Mereka dijadual bertandang ke Anfield menentang Liverpool pada Ahad ini sebelum menerima kunjungan Newcastle United di Emirates.

“Secara matematik, kami belum layak ke UCL musim depan.

“Kami juga belum sahkan kedudukan kedua, jadi masih banyak kerja yang perlu diselesaikan,” ujar Arteta.



Source link

OR

Scroll to Top