Lepasan tahfiz, SPMC berpeluang ikuti program tertentu di IPTA

Lepasan tahfiz, SPMC berpeluang ikuti program tertentu di IPTA


am@hmetro. com.my

Putrajaya: Calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Katanya, bagi calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, mereka boleh memohon mana-mana program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Bagi calon lepasan SMPC/UEC pula, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

“Permohonan juga tertakluk kepada syarat am dan syarat khas program yang ditetapkan oleh universiti melalui proses pemilihan berdasarkan meritokrasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

KPT berkata, mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju bahawa calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.

Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.

“KPT ingin menegaskan bahawa pendekatan ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top