Ler Qi, Shan Zi mara dalam ketenangan di Ipoh

Ler Qi, Shan Zi mara dalam ketenangan di Ipoh


PEMAIN pilihan utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Eng Ler Qi dan Ooi Shan Zi, mempamerkan aksi tenang dan konsisten untuk melangkah ke Pusingan 16 Kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan Petronas Bawah 18 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Akademi Badminton Perak, di sini.

Ler Qi, 17, yang merupakan anggota skuad Kejohanan Remaja Dunia 2024 di China, meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Julia Yek dari Sarawak sebelum menumpaskan wakil Pahang, N. Mishaliny dalam perlawanan Pusingan 32.

Dalam perlawanan menentang pemain muda dari Kuantan itu, Ler Qi hanya memerlukan 20 minit untuk menamatkan aksi secara straight set, 15-8, 15-6.

Sementara itu, pilihan kedua, Shan Zi, turut mengekalkan fokus dan momentum apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya.

Shan Zi, yang membantu Pulau Pinang menjuarai Kejohanan Berpasukan Campuran Antara Negeri Bawah 18 Tahun tahun lalu, terlebih dahulu menewaskan Lee Rui Ci dari Pulau Pinang di Pusingan 64 sebelum mengatasi Low Hui Yen dari Perak, 15-4, 15-7.

Turut mencuri tumpuan ialah pemain pilihan ketiga/keempat BAM, Lim Zhi Shin dan Low Zi Yu yang terus memberi tekanan untuk memburu kejuaraan.

Zhi Shin mara ke Pusingan 16 selepas menundukkan R. Loshini dari Putrajaya, diikuti kemenangan bergaya ke atas Eva Tan dari Selangor, 15-3, 15-6 dalam tempoh hanya 14 minit.

Zi Yu, pemain paling muda yang pernah mara ke pentas akhir Kejohanan Remaja Dunia, meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya dengan dua persembahan mantap.

Selepas menewaskan Qasdina Saffiya Mohd Ishak dari Putrajaya, Zi Yu mengatasi Weng Yan Lee dari Kuala Lumpur, 15-8, 15-9. Pemain berbakat besar ini bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-15 pada Ogos ini.



Source link

OR

Scroll to Top