LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertahankan keputusan memberikan lanjutan masa kepada pasukan untuk menghantar dokumen permohonan Lesen Kebangsaan yang sepatutnya berakhir pada 30 April lalu.
Dalam satu kenyataan, badan pengelola liga itu memaklumkan bahawa keputusan badan bebas, First Instance Body (FIB), untuk melanjutkan tempoh permohonan sehingga 10 Mei adalah berlandaskan peruntukan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024–2025.
“FIB mengambil maklum kenyataan yang dikongsikan oleh kelab-kelab Liga Super melalui media sosial baru-baru ini berhubung tarikh akhir penyerahan dokumen Pelesenan Kelab untuk kitaran 2024–2025 bagi Lesen Kebangsaan.
“Jawatankuasa FIB menghargai komitmen kelab-kelab yang telah melengkapkan proses memuat naik dokumen sebelum atau pada 30 April 2025 dalam sistem pelesenan AFC CLAS, dan mematuhi tarikh akhir asal yang telah ditetapkan.
“Namun begitu, atas permohonan bertulis daripada beberapa kelab, pihak FIB telah mempertimbangkan permohonan lanjutan tarikh akhir tersebut. Keputusan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada FIB di bawah Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024, Artikel 7, 8(a), serta mengambil kira keadaan khusus setiap permohonan dan kes yang dikemukakan,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Penang FC menyuarakan kebimbangan susulan keputusan FIB itu yang menurut mereka boleh menimbulkan implikasi negatif sekiranya dijadikan kelaziman.
Menurut kenyataan kelab tersebut, kelonggaran yang diberikan berisiko menyebabkan kelab yang menghadapi masalah kewangan menangguhkan langkah penstrukturan atau penyelesaian masalah yang sepatutnya diambil segera.
Dalam pada itu, MFL menggesa agar semua kelab terlibat dapat memanfaatkan tempoh lanjutan ini untuk menyelesaikan urusan dokumentasi yang berkaitan.
“MFL berharap agar kelab-kelab terlibat dapat memuat naik dokumen selewat-lewatnya pada tarikh akhir baharu, iaitu sebelum atau pada 10 Mei ini,” tambah kenyataan tersebut.