May 18, 2024

Letak jawatan tidak selesai masalah – Hamidin


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak akan meletakkan jawatan biarpun pelbagai insiden sedang menyelubungi badan induk itu.

Menurutnya, peletakan jawatannya daripada FAM tidak akan menyelesailan masalah dan apa yang paling penting ketika ini untuk memulihkan kekusutan dalam industri bola sepak negara.

“Saya tahu apa saya buat. Saya buat ikhlas untuk bola sepak.

“Sebarang kenyataan adalah tanggapan masing-masing. Apa yang berlaku ketika ini kita serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya selepas hadir melawat pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim di Hospital swasta di Shah Alam pada Rabu.

Sebelum ini, pelbagai perkara menyelubungi industri bola sepak negara bermula dengan surat layang yang mendedahkan beberapa ‘masalah’ dalam FAM yang sekali gus memberikan kesan kepada badan induk bola sepak negara itu.

Malah, tiga insiden serangan ke atas pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid, Pemain Selangor FC, Faisal Halim dan Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim memberikan bayangan ada sesuatu yang tidak kena dalam bola sepak negara.

Pihak polis juga sedang menyiasat kemungkinan wujud kaitan surat layang tersebut dengan insiden yang berlaku ke atas ketiga-tiga pemain itu.

Hamidin berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kemungkinan mengenai surat layang itu.

“Saya ingat itu biarlah pihak berkuasa melihat perkara tersebut. Kita serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top