SKUAD negara berpotensi tampil dengan strategi berbeza menjelang saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini, apabila Lee Zii Jia dilihat lebih sesuai menggalas peranan sebagai perseorangan ketiga demi memperkukuh keseimbangan pasukan.
Pandangan itu disuarakan legenda badminton negara, Rashid Sidek yang melihat percaturan berkenaan mampu memberi kelebihan taktikal kepada Malaysia dalam memburu mata penting.
Menurutnya, dalam acara berpasukan, kekuatan tidak hanya terletak pada pemain utama, sebaliknya susunan yang tepat mampu menjadi pemisah antara menang dan kalah.
“Kalau Zii Jia diletakkan sebagai perseorangan ketiga, kita sebenarnya ada barisan lebih seimbang dan mampu bersaing dengan mana-mana pasukan.
“Dalam acara berpasukan, kombinasi pemain itu lebih penting untuk hasilkan mata kemenangan,” katanya.
Walaupun prestasi semasa Zii Jia masih belum konsisten susulan masalah kecederaan sejak penghujung 2024, kehadirannya tetap dianggap memberi nilai tambah, khususnya dari segi pengalaman dan pengaruh di gelanggang.
Pemain berusia 28 tahun itu pernah menjulang kejuaraan Seluruh England 2021 dan kekal sebagai antara nama besar yang mampu memberi kelebihan psikologi kepada pasukan.
Sejak kembali beraksi awal tahun ini, pencapaian terbaik Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-83 dunia hanyalah mara ke suku akhir dalam satu kejohanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kecergasannya.
Bagaimanapun, Rashid berpandangan faktor kesediaan fizikal menjadi penentu utama sebelum sebarang keputusan dibuat oleh barisan kejurulatihan.
“Dia memang pemain ternama tetapi yang lebih penting ialah tahap kecergasan semasa.
“Kalau benar-benar cergas, dia boleh jadi aset penting kepada pasukan.
“Sama ada dia benar-benar bersedia untuk menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga masih menjadi tanda tanya,” katanya.
Selain Zii Jia, Persatuan badminton Malaysia (BAM) pada Sabtu mengumumkan bahawa cabaran perseorangan negara turut digalas Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Dalam acara beregu lelaki, tumpuan terarah kepada pasangan nombor dua dunia Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang bakal mengetuai cabaran, disokong gandingan Man Wei Chong–Tee Kai Wun serta pasangan profesional Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Mohd Rumsani.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas adalah pada edisi 1992 yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2 dengan Rashid turut menjadi watak penting dalam final bersejarah itu.
Bagi edisi kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland, dengan susunan pemain dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kemaraan skuad negara.






