‘Letshanaa ada sengat, Ling Ching ada semangat juang’

‘Letshanaa ada sengat, Ling Ching ada semangat juang’


Iskandar Foto Sinar Harian

PEMAIN perseorangan wanita negara, K Letshanaa masih memerlukan masa untuk mencapai tahap kematangan dalam saingan antarabangsa biarpun memiliki kelebihan corak permainan menyerang dan pukulan tajam.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menegaskan, pemain berusia 20 tahun itu sudah memiliki pakej untuk menjadi pencabar utama tetapi sering kehilangan fokus pada saat penting.

“Buat masa ini saya lihat Letshanaa masih belum cukup matang. Dia ada permainan menyerang, ada pukulan tajam dan mampu mematikan mata.

“Namun ketika mendahului, dia terlalu yakin dan pada masa sama banyak berfikir hingga kerap kehilangan mata mudah,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu yang baru kembali daripada tugasan bersama skuad Ireland berkata, aspek taktikal dan penyudah pukulan perlu diberi penekanan dalam pembangunan pemain muda negara.

Menurutnya, kelemahan hampir sama turut membelenggu seorang lagi pemain perseorangan wanita, Wong Ling Ching, yang memiliki semangat juang tinggi tetapi masih kurang menyengat dari segi pukulan pemati.

“Ling Ching memang ada semangat juang yang tinggi, tetapi dia perlu menambah pukulan pemati untuk mempertingkatkan permainan. Kami akan analisis dan merancang supaya dia tampil lebih menyerang selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, Iskandar turut menilai gaya permainan pemain Eropah yang banyak bergantung kepada kelebihan fizikal berbanding pemain Asia.

“Fizikal memang penting, tetapi penekanan saya adalah kepada taktik kerana pemain kita sudah ada asas yang baik.

“Cuma mereka masih belum benar-benar faham bagaimana untuk bermain dengan lebih berkesan di gelanggang,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa, masih memerlukan masa untuk mencapai tahap kematangan dalam saingan antarabangsa
  • Letshanaa mempunyai kelebihan corak permainan menyerang dan pukulan tajam tetapi sering kehilangan fokus pada saat penting
  • Ketua jurulatih, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menekankan pentingnya aspek taktikal dan penyudah pukulan dalam pembangunan pemain
  • Wong Ling Ching, seorang lagi pemain perseorangan wanita, memerlukan peningkatan dalam pukulan pemati
  • Iskandar menilai gaya permainan pemain Eropah yang bergantung kepada kelebihan fizikal berbanding pemain Asia, menyatakan taktik lebih penting bagi pemain Asia



Source link

OR

Scroll to Top