sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa memulakan kempen 2026 dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua Masters Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, sebentar tadi.
Letshanaa menampilkan kebangkitan meyakinkan untuk menewaskan pemain Taiwan, Wen Chi Hsu 9-21, 21-12, 22-20 dalam pertarungan sengit selama 55 minit.
Kemenangan itu turut menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pemain kini terikat 1-1, sekali gus memberi suntikan keyakinan buat pemain ranking ke-42 dunia berkenaan.
Pada pusingan kedua kejohanan berstatus Super 500 itu, Letshanaa dijadual berdepan cabaran sukar apabila bertemu pemain Kanada, Michelle Li yang kini menghuni ranking ke-12 dunia.
Michelle mengesahkan kemaraan selepas menyingkirkan pemain India, Malvika Bansod 23-12, 21-12.
Sementara itu, hasrat pemain perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching untuk melangkah ke pusingan seterusnya tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama.
Pemain ranking ke-43 dunia itu memulakan aksi dengan meyakinkan apabila memenangi set pertama 22-20 ke atas pemain Thailand yang menghuni ranking ke-36 dunia, Pitchamon Opatniputh.
Bagaimanapun, momentum berkenaan gagal diteruskan apabila Opatniputh bangkit memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua 21-13 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set ketiga, Ling Ching cuba memberi tentangan namun gagal mengekang asakan lawan apabila tewas 12-21 sekali gus menamatkan cabarannya di kejohanan berstatus Super 500 itu.
Sementara itu dalam acara perseorangan lelaki, Justin Hoh tewas 15-21, 11-21 kepada pemain China, Wang Zheng Xing.
Kekalahan itu menyaksikan Justin masih bergelut untuk menemui rentak terbaiknya, selain menjadi kekalahan pertama kepada Zheng Xing selepas sebelum ini menewaskannya 21-6, 21-19 pada pusingan pertama Terbuka Korea 2025, September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






