Letupan cetus insiden rempuhan di sekolah, ragut 29 nyawa

Letupan cetus insiden rempuhan di sekolah, ragut 29 nyawa


Bangui (Republik Afrika Tengah): Seramai 29 pelajar disahkan maut manakala 36 lagi cedera parah selepas letupan pada Rabu mencetuskan insiden rempuhan di Sekolah Tinggi Barthelemy Boganda di Bangui, ibu negara Republik Afrika Tengah (CAR).

Menurut Direktorat Perlindungan Awam CAR, kejadian berlaku pada 12.22 tengah hari waktu tempatan apabila sebuah transformer kuasa meletup berhampiran sekolah berkenaan ketika 5,311 pelajar sedang menduduki peperiksaan, lapor Xinhua pada Khamis.

Letupan itu telah mengeluarkan sejumlah besar gas beracun, menyebabkan kesukaran bernafas dan ada yang tidak sedarkan diri. Pelajar yang menjadi panik cuba melarikan diri sekali gus mencetuskan insiden rempuhan.

Menurut laporan itu, angka korban terus meningkat akibat ketiadaan tindak balas kecemasan yang teratur.

Sementara punca sebenar kejadian masih belum jelas, laporan tersebut menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh keselamatan di sekolah-sekolah.

Tempoh berkabung negara selama tiga hari telah diisytiharkan di CAR sejak Khamis bagi menghormati mangsa kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top