KUALA LUMPUR – Enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850 disahkan cedera dalam insiden letupan yang berdekatan Stadium Saida, Lubnan sekitar jam 7.54 malam tadi waktu Malaysia.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.
“Daripada jumlah itu, lima anggota melibatkan MALBATT 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang cedera di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).
“Seorang lagi membabitkan anggota MALBATT 850-11 juga mengalami cedera ringan. Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Markas ATM, letupan itu telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut.
Namun kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.
“ATM juga kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan lima tentera pengaman Malaysia Battalion (MALBATT 850) cedera dalam satu serangan tentera Israel di Sidon, selatan Lubnan.
Tentera Darat Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan, kenderaan membawa anggota pengaman MALBATT yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) sedang melalui sekatan jalan.
“Tentera Israel mengebom sebuah kereta yang melalui Awali di Sidon. Serangan ini menyebabkan tiga warga Lubnan maut,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL