Letupan peranti di Lubnan langgar undang-undang antarabangsa – PBB

Letupan peranti di Lubnan langgar undang-undang antarabangsa – PBB


New York: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, letupan alat komunikasi di Lubnan boleh menjadi jenayah perang, dengan diplomat tertinggi Beirut menuduh Israel sebagai dalang dan menyifatkannya sebagai serangan pengganas.

Letupan yang membunuh sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan hampir 3,000 pada Selasa dan Rabu lalu, menyasarkan peranti komunikasi digunakan oleh kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Alat kelui dan ‘walkie-talkie’ meletup ketika pengguna peranti itu membeli-belah di pasar raya, berjalan di jalanan dan menghadiri pengebumian, menyebabkan negara itu dalam keadaan panik.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, memberitahu Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semasa sesi tergempar di Lubnan yang diminta oleh Algeria berkata, perbuatan itu bertujuan menimbulkan ketakutan orang awam.

“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang penggunaan jerangkap samar dalam bentuk objek mudah alih yang nampak tidak berbahaya.

“Ia adalah jenayah perang untuk melakukan keganasan yang bertujuan untuk menyebarkan keganasan dalam kalangan orang awam,” katanya sambil menambah supaya siasatan ‘bebas, terperinci dan telus’ dilakukan.

Pihak berkuasa Lubnan menyalahkan Israel atas serangan itu dan berkata, peranti terbabit dipasang jerangkap samar, sebelum ia dibawa masuk ke negara itu.

Hizbullah berikrar akan membalas dendam dan melancarkan siasatan dalaman sendiri susulan tragedi letupan itu.

“Saya terkejut dengan keluasan dan kesan serangan itu. Serangan ini mewakili perkembangan baharu dalam peperangan, di mana alat komunikasi menjadi senjata. Ini tidak boleh menjadi norma baharu,” kata Turk.

Bercakap di UNSC, diplomat tertinggi Lubnan, Abdallah Bou Habib menyebut serangan itu sebagai ‘kaedah peperangan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam kekejaman dan keganasannya’.

“Israel, melalui pencerobohan pengganas ini, melanggar prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya sambil menggelar Israel sebagai ‘negara penyangak’.

Israel tidak mengulas mengenai letupan peranti itu tetapi berkata, ia akan meluaskan skop perangnya di Gaza untuk memasukkan barisan hadapan Lubnan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top