Leverkusen: Bayer Leverkusen meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara hasil jaringan Nordi Mukiele pada minit ke-90, sekali gus membawa pasukan Jerman itu semakin hampir ke pusingan kelayakan.
Menguasai lebih 60 peratus (%) penguasaan bola, Leverkusen mempamerkan aksi dominan sepanjang perlawanan.
Nathan Tella hampir membuka jaringan seawal minit ketiga apabila voli kencangnya terkena palang gol.
Florian Wirtz dan Jonathan Tah turut mencemaskan kubu Inter dengan beberapa percubaan bahaya.
Namun, gol yang ditunggu-tunggu hanya tiba pada penghujung perlawanan apabila Mukiele menyudahkan bola liar dalam situasi kelam-kabut di depan gawang.
Ia juga gol pertama yang dibolosi Inter dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini selepas merekodkan lima perlawanan tanpa bolos.
Kekalahan ini menyaksikan Inter jatuh ke tangga keempat dengan 13 mata, berkongsi mata dengan Leverkusen yang berada di tempat kedua.
Dua perlawanan terakhir bakal menjadi penentu buat kedua-dua pasukan untuk memastikan kedudukan dalam kelompok lapan teratas yang layak terus ke pusingan 16 terakhir.
Leverkusen, di bawah kendalian Xabi Alonso, mengawal permainan sejak awal.
Tella hampir memberikan gol pendahuluan tetapi percubaannya sekadar menggegar palang.
Penjaga gol Inter, Yann Sommer, turut cemerlang menyelamatkan rembatan deras Wirtz pada minit ke-35.
Dengan kira-kira 65% penguasaan bola, Leverkusen terus mengasak.
Jeremie Frimpong hampir menemui jaringan selepas menerima hantaran cantik daripada Wirtz tetapi percubaannya tersasar tipis.
Jurulatih Inter, Simone Inzaghi, cuba mengubah nasib pasukan dengan beberapa pertukaran pemain selepas sejam perlawanan, namun usaha mereka gagal mencipta ancaman besar di hadapan gol Leverkusen.
Ketika perlawanan tampak menuju keputusan seri, Mukiele muncul wira dengan penyudah klinikal, memastikan tiga mata penuh buat Leverkusen.
© New Straits Times Press (M) Bhd