Lewat dua minit, Rashford hilang tempat dalam kesebelasan utama

Lewat dua minit, Rashford hilang tempat dalam kesebelasan utama


Rashford diturunkan pada separuh masa kedua dalam perlawanan menentang Getafe. Foto AFP

BINTANG Barcelona, Marcus Rashford, terpaksa memulakan aksi dari bangku simpanan ketika menentang Getafe selepas dilaporkan lewat menghadiri mesyuarat pasukan pra-perlawanan pada Ahad.

Rashford sebelum itu menjadi wira kelab Catalan berkenaan dengan dua jaringan menewaskan Newcastle dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu.

Justeru, ramai menjangkakan penyerang England itu terus dikekalkan dalam kesebelasan utama memandangkan Lamine Yamal masih belum pulih daripada kecederaan.

Namun, jurulatih Hansi Flick memilih untuk menurunkan Ferran Torres di posisi serangan manakala Rashford hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Menurut laporan media antarabangsa, Rashford tiba lewat dua minit untuk sesi mesyuarat dan aktiviti pasukan pada pagi perlawanan.

Difahamkan kelewatan itu berpunca kerana beliau masih perlu mengisi maklumat elektronik harian yang diwajibkan kelab.

Flick sebelum ini menetapkan peraturan tegas bahawa mana-mana pemain yang lewat hadir mesyuarat atau latihan tidak akan diturunkan walaupun sudah dirancang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Peraturan sama pernah menyebabkan beberapa pemain lain digugurkan termasuk Raphinha yang lewat hadir minggu lalu.

Namun, pemain Brazil itu tetap menyumbang dua gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 6-0 ke atas Valencia.

Jules Kounde dan penjaga gol kedua, Inaki Pena turut pernah menerima nasib sama.

Rashford sendiri tidak asing dengan situasi sebegini apabila pernah digugurkan bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag kerana terlewat menyertai mesyuarat pasukan pada Disember 2022 akibat terlambat bangun tidur.

Menariknya, Torres yang menggantikan Rashford kali ini memanfaatkan peluang dengan dua jaringan di babak pertama untuk meletakkan Barcelona 2-0 di depan.

Rashford kemudian dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Raphinha yang telah dilayangkan kad kuning. Pemain berusia 27 tahun itu sempat menyumbang satu bantuan gol buat Dani Olmo sekali gus membantu Barcelona melengkapkan kemenangan 3-0.

Keputusan itu menyaksikan skuad Barcelona berada di tangga kedua LaLiga dengan 13 mata hanya dua mata di belakang pendahulu, Real Madrid.

Ringkasan AI

  • Marcus Rashford terpaksa memulakan permainan dari bangku simpanan kerana lewat menghadiri mesyuarat pasukan
  • Sebelum ini Rashford menjadi wira dengan dua gol menentang Newcastle
  • Jurulatih Hansi Flick memilih Ferran Torres untuk posisi serangan menggantikan Rashford
  • Rashford terlambat dua minit kerana mengisi maklumat elektronik yang diwajibkan kelab
  • Walaupun digantikan, Rashford menyumbang satu bantuan gol dalam kemenangan 3-0 Barcelona atas Getafe



Source link

OR

Scroll to Top