September 8, 2024

Lian Ker pula desak Hannah letak jawatan

Lian Ker pula desak Hannah letak jawatan


KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menjadi ahli politik terbaharu mendesak Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan berhubung isu Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Menurut Lian Ker, peletakan jawatan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu dalam Kabinet wajar kerana parti terbabit sebelum ini merupakan perjuang tender terbuka.

Malah DAP juga merupakan jaguh dalam mempertahankan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT).

“Kerajaan (bukan kementerian menteri) juga telah memberi Asia Mobility, syarikat kepunyaan suami Hannah Yeoh tanpa tender terbuka yang menimbulkan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan atau CAT yang dilaung-laungkan oleh DAP selama ini terhadap kerajaan BN.

“Maka atas prinsip yang sama dan secara moral, Hannah perlu juga meletakkan jawatan supaya negara kita mempunyai landasan dan ketegasan untuk menangani penyalah gunaan kuasa dan pengaruh yang berleluasa. Bila lagi Hannah?” soalnya.

Sementara itu, Lian Ker juga membandingkan isu pemberian Projek Rintis DRT kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diterajui suami Hannah dengan kes melibatkan syarikat milik suami Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat yang merupakan Menteri Pembangunan, Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia  pada waktu itu menjadi serangan pemimpin DAP selepas syarikat suaminya National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dipilih bagi operasi Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan.

“Apa beza kes syarikat suami Sharizat dan syarikat suami Hannah Yeoh yang mendapat layanan istimewa kerajaan dengan wang ringgit rakyat?

“Dalam kes NFC kepunyaan suami Sharizat, menteri wanita pada masa syarikat itu mendapat pinjaman RM250 juta dari kerajaan (bukan kementerian menteri) tetapi projek gagal.

“Mahkamah memutuskan pada tahun 2023 (di bawah kerajaan PH dan UMNO) bahawa NFC tidak bersalah tetapi Sharizat sudahpun dihukum oleh puak Hannah Yeoh apabila dipaksa meletak jawatan sebagai menteri atas tekanan dan tohmahan politik. Wang ini adalah pinjaman yang perlu dibayar balik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Hannah mahu kebenaran dan bukti yang sahih daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap terhadap projek DRT.

Menurut Hannah, siasatan melibatkan suaminya, Ramachandran Muniandy, sebagai pengasas bersama Asia Mobility Technologies itu disambut baik dan tidak akan menganggu proses siasatan.

Media turut melaporkan, SPRM menerima beberapa aduan baharu berkaitan isu kontrak yang diterima oleh suami Hannah daripada kerajaan Selangor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi oleh media, mengesahkan beberapa aduan dan maklumat telah diterima berkenaan dengan isu ini.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top