Libat Urus Platform Media Sosial Diteruskan, Undang-Undang Tetap Terpakai – Fahmi

Libat Urus Platform Media Sosial Diteruskan, Undang-Undang Tetap Terpakai – Fahmi


Sesi libat urus antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama platform media sosial dan pemesejan internet akan diteruskan bagi memastikan undang-undang dan peraturan tempatan yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2026 dipatuhi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun platform media sosial dengan lebih lapan juta pengguna tempatan tidak lagi perlu memohon lesen seperti diumumkan MCMC sebelum ini, undang-undang Malaysia tetap terpakai sepenuhnya ke atas mereka.

Tegasnya, Kerajaan MADANI mahu memastikan semua platform media sosial yang beroperasi di negara ini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan dan aktiviti di platform masing-masing.

“Kita sudah beri peluang … ada yang akur, ada yang memberikan pelbagai alasan. Tetapi realitinya, masalah jenayah dalam talian tidak berkurangan, malah semakin merisaukan,” katanya.

Mengulas maklum balas platform media sosial terhadap siri libat urus bersama MCMC sebelum ini, Fahmi mengakui tahap kerjasama yang ditunjukkan adalah berbeza.

Ada platform yang memberikan tahap kerjasama tinggi dalam menangani kandungan bermasalah, namun ada juga yang kurang memberi komitmen.

“Ada platform yang sangat proaktif, tetapi ada juga yang apabila kita salurkan aduan atau maklumat, langsung tidak diendahkan,” katanya.

Sehubungan itu, Fahmi menegaskan semua platform tertakluk kepada undang-undang negara memandangkan kes penipuan dalam talian kini berlipat ganda, di samping peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake serta kegiatan perjudian dalam talian yang dilihat semakin sukar dibendung.

Katanya, timbul persoalan serius berhubung tanggungjawab platform media sosial apabila laporan antarabangsa menunjukkan terdapat platform tertentu yang meraih pendapatan melalui iklan penipuan.

“Atas dasar itu dan mengambil kira apa yang berlaku di negara lain, kerajaan melihat ada kewajaran untuk mentakrifkan ataupun menyifatkan semua platform media sosial sebagai telah dilesenkan. Tak perlu melalui proses pelesenan tetapi undang-undang negara tetap terpakai,” katanya.

Menurut Fahmi, kerajaan tidak boleh terus menunggu platform media sosial memberikan kerjasama kerana mangsa penipuan dan penyalahgunaan digital terus bertambah.

“Saya masih ingat, sehari sebelum Krismas 2024, wakil sebuah platform besar menghubungi saya dan menyatakan kesediaan untuk menghantar aplikasi mereka, tetapi setahun berlalu tanpa sebarang tindakan. Mangsa scam dan mangsa penyalahgunaan AI tidak boleh menunggu,” katanya.

Jelas Fahmi, pendekatan operasi platform media sosial yang berbeza-beza turut mengukuhkan keperluan untuk mewujudkan kerangka tanggungjawab yang jelas demi keselamatan ruang digital negara.

“Saya berpandangan semua platform perlu akur dan bekerjasama untuk memastikan internet selamat untuk semua, terutama kanak-kanak dan keluarga. Ini soal tanggungjawab, bukan semata-mata kawalan,” katanya.

Sebelum ini, MCMC memaklumkan platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet yang memiliki lebih lapan juta pengguna di negara ini tidak lagi perlu memohon lesen operasi, namun tetap tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang negara termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan lain.

Langkah itu, antara lain bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab dalam menangani kandungan menyalahi undang-undang termasuk penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan akaun palsu serta jenayah melibatkan kanak-kanak.

Ini selari dengan usaha Kerajaan MADANI memperkukuh keselamatan ruang digital negara.






Source link

OR

Scroll to Top