ISLAM merupakan satu cari hidup yang berlandaskan wahyu Ilahi dan ia merangkumi sistem kehidupan yang syumul serta lengkap demi kesejahteraan umat manusia seluruhnya.
Apa jua kebebasan sama ada aspek pemikran, perundangan, kebudayaan dan sebagainya, perlulah berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan syarak.
“Kebebasan tanpa batas dan menyimpang daripada peraturan agama, lambat-laun bakal membawa kemudaratan kepada individu, keluarga dan masyarakat,” ucap khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Menurut JHEAT, baru-baru ini umat Islam Malaysia digemparkan dengan beberapa isu yang mencabar pihak berkuasa agama yang timbul daripada tindakan oleh pertubuhan yang memperjuangkan kebebasan tanpa batasan agama.
“Ini termasuklah permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa kesesatan liberalisme dan pluralisme agama. Isu ini telah menimbulkan kegusaran umat Islam.
“Kes hampir sama pernah direkodkan sebelum ini berkaitan semakan kehakiman terhadap beberapa kesalahan jenayah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
“Beberapa kes semakan kehakiman yang berlaku menunjukkan wujudnya usaha terancang yang berniat jahat untuk meruntuhkan kedudukan institusi Islam di Malaysia,” katanya.
PENTING untuk ketua keluarga membimbing anak-anak dan isteri agar tidak terpengaruh dengan fahaman liberalisme. Foto Canva
Jelasnya, inilah salah satu ancaman liberalisme atau fahaman bebas tanpa batasan agama yang cuba menolak Islam serta institusinya dalam negara.
4 ciri utama liberalisme
JHEAT kemudiannya memperincikan empat ciri-ciri utama gerakan liberalisme agama yang perlu diketahui umat Islam:
1 – Mentafsir semula nas al-Quran dan hadis untuk diselarikan dengan nilai Barat yang negatif.
Menurut khatib, perkara ini menyebabkan banyak penyelewengan yang berlaku atas tafsiran ayat al-Quran dan hadis.
“Antaranya mentafsirkan perbuatan songsang sesama jantina sebagai tidak haram sekiranya ia dilakukan dengan kerelaan,” ujarnya.
2 – Menjadikan pemikiran logik akal semata-mata dalam menentukan kebenaran.
Jelasnya, mereka membuat tafsiran yang menyeleweng sehingga membawa kepada penolakan al-Quran dan hadis itu sendiri.
“Keadaan ini turut menimbulkan percanggahan antara wahyu dengan akal yang sihat,” hurainya.

DIDIKLAH anak-anak untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam. Foto Canva
Ia bercanggah sama sekali dengan hadis Rasulullah SAW: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab ALLAH (al-Quran) dan sunnah Nabi-NYA.” (Hadis Riwayat Malik)
3 – Mempromosi hak asasi manusia menurut acuan Barat.
Menurut JHEAT, bagi golongan liberal, manusia diberikan kebebasan mutlak untuk menentukan dan melakukan apa sahaja termasuk dalam soal agama.
“Ini kerana ia merupakan hak asasi setiap manusia yang mesti dihormati dan tidak boleh dihalang.
“Disebabkan itu golongan liberal menyokong aktiviti hubungan bebas, LGBT dan perkahwinan sejenis yang dianggap oleh mereka sebagai hak asasi manusia,” jelasnya.
Tambahnya lagi, fahaman ini turut membenarkan manusia untuk berpegang dengan ajaran sesat atau menjadi aties (tiada agama) dan murtad kerana ia termasuk dalam hak asasi manusia.
“Pegangan liberal ini jelas bercanggah dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu kewajipan memelihara agama Islam (hifz ad-Din).

PEGANGAN liberal jelas bercanggah dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu kewajipan memelihara agama Islam (hifz ad-Din). Foto Canva
“Umat Islam diperintahkan untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar dan pada masa yang sama perlu menolak sebarang ajaran serta perbuatan yang menyalahi ajaran Islam,” ujarnya.
4 – Menolak autoriti ilmu daripada ulama muktabar.
Jelas khatib, mereka mempromosikan kebebasan berijtihad kepada sesiapa sahaja sekalipun tanpa kelayakan berijtihad.
“Mereka juga menuduh para ulama sebagai tidak adil dan ketinggalan zaman. Tujuan mereka agar umat Islam menjauhi ulama, sekali gus memudahkan dakyah mereka,” ujarnya.
Sebelum mengakhiri khutbah, khatib mengajak seluruh umat Islam agar sentiasa mengambil cakna terhadap sebarang fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Liberalisme merupakan salah satu ancaman yang bukan sahaja boleh membawa kerosakan kepada akidah, malah ia boleh memberi ancaman kepada kestabilan negara.
“Oleh itu, setiap Muslim mesti mengambil peranan dan tanggungjawab untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada dirosakkan oleh golongan liberal.
“Umat Islam perlu terus didedahkan dengan ciri-ciri pemikiran liberal agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda jahat liberalisme,” katanya.
*Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan diterbitkan dalam laman web rasmi jabatan berkenaan.