Liek Hou buat persediaan awal hadapi Para Asia 2026

Liek Hou buat persediaan awal hadapi Para Asia 2026


Liek Hou dalam misi merampas pingat emas di Sukan Para Asia 2026. – Foto Bernama

JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou akan menyambung latihan intensifnya tahun ini sebagai persediaan menghadapi Sukan Para Asia 2026 yang berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun.

Menurut Liek Hou, persiapan awal itu bagi meningkatkan prestasinya dalam usaha merampas semula kilauan pingat emas yang terlepas daripada genggaman semasa Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di China.

Para Asia Hangzhou diadakan pada Oktober 2023 selepas ditunda selama setahun akibat penularan wabak Covid-19.

Kali terakhir Liek Hou, 36, meraih kilauan pingat berkenaan adalah dalam acara perseorangan SU5 (kecacatan fizikal) di Incheon 2014 sebelum akur dengan meraih gangsa pada edisi selepas itu di Indonesia 2018 yang menyaksikan emas dan perak masing-masing menjadi milik atlet tuan rumah, Dheva Anrimusthi dan Suryo Nugroho.

“Tahun ini saya akan berusaha meningkatkan kekuatan fizikal atau pun latihan kerana Sukan Para Asia bermula tahun depan.

“Sekarang saya masih menjalani latihan di Cheras dan menyertai beberapa pertandingan,” katanya.

Ditanya mengenai penampilan di Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28), Liek Hou yang masih menggunakan khidmat Nova Armada engan terlalu meletakkan harapan tinggi.

“Kita akan tengok keadaan terutama kesihatan diri dulu kerana sekiranya semuanya baik saya sanggup bertanding lagi.

“Tapi setakat ini, saya ada tiga tahun lagi. Jadi untuk persediaan ke Sukan Paralimpik di LA, saya tidak boleh hendak beri sebarang jaminan lagi,”

Sebagai rekod, Liek Hou menepati ramalan apabila menjadi penyumbang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kejayaan itu hadir selepas Liek Hou mengatasi musuh ketatnya, Suryo Nugroho pada aksi final kategori SU5 di Porte de La Chapelle Arena.



Source link

OR

Scroll to Top