SAINGAN Liga A1 Semi-Pro 2025/26 dijangka menyaksikan persaingan lebih sengit dan menarik apabila Liga Bolasepak Amatur (AFL) memperkenalkan dua pengisian baharu yang signifikan diyakini meningkatkan kualiti dan daya saing kejuaraan tahap kedua negara itu.
Menurut Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, setiap pasukan diwajibkan untuk menyenaraikan tiga pemain bawah 23 tahun dalam setiap perlawanan.
“Kita ada beberapa peraturan baharu bagi saingan Liga A1 2025/26, antaranya pemain berusia bawah 23 tahun wajib bermain dalam setiap pasukan. Tiga pemain perlu diturunkan pasukan dalam setiap perlawanan, ini sesuatu perkara baharu bagi pasukan Liga A1.
“Langkah ini bertujuan untuk memberi lebih banyak pendedahan dan peluang kepada bakat-bakat muda tempatan,” katanya.
Selain itu, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa saingan juga membenarkan penggunaan tiga pemain import pada musim ini bagi menjadikan saingan lebih menarik.
“Kita juga buka kepada setiap pasukan Liga A1 mendaftarkan seramai tiga pemain import kali ini. Tiga pemain import ini juga tiada sekatan umur,” jelas beliau, yang pastinya akan menambah dimensi dan strategi baharu dalam setiap pertembungan.
Mohd Yusoff sebelum itu mengesahkan 12 pasukan, termasuk dua pasukan ‘feeder’ gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Selangor FC II bakal mewarnai saingan musim 2025/26.
Jelas Mohd Yusoff, kehadiran empat pasukan baharu, lima pasukan sedia ada, serta tiga pasukan ‘feeder’ ini akan memeriahkan lagi landskap bola sepak semi-pro negara yang dijadualkan bermula penghujung Julai dan berakhir Mei 2026.
“Secara rasmi, 12 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, JDT II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, dan Kedah FA. Turut menyahut cabaran Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University Football Team dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA),” katanya.
Pada masa sama, Mohd Yusoff turut memaklumkan bahawa tiga pasukan telah diberikan kelulusan bersyarat bagi membolehkan mereka menyertai saingan Liga A1 musim ini.
Katanya, tiga pasukan tersebut ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Guar Syed Alwi (GSA FC), dan Seoul Phoenix FC dari Korea Selatan yang berpangkalan di Lembah Klang.
“Mereka diberikan tempoh 10 hari, iaitu bermula hari ini, Jumaat sehingga 15 Jun 2025, untuk melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen yang diperlukan AFL,” jelasnya.
Tambahnya lagi, perancangan asal AFL adalah untuk mendapatkan sehingga 14 pasukan yang bakal bersaing.
“Jika semua atau ada di antara pasukan bersyarat itu berjaya mendapatkan kelulusan penuh, maka jumlah pasukan akan bertambah. Jika tidak, AFL tiada masalah untuk meneruskan dengan 12 pasukan yang sememangnya telah bersedia,” katanya.
Mohd Yusoff menambah, AFL juga mempunyai dua pasukan dalam senarai menunggu, iaitu UM-Damansara FC dan Ipoh City FC, yang boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan untuk melengkapkan jumlah pasukan.
Beliau menyatakan bahawa kedua-dua pasukan ini telah melalui proses yang sama sebelum ini, namun masih banyak kriteria yang perlu mereka penuhi.
INFO
Liga A1 Semi-Pro 2025/26
1. Armed Forces FC
2. Manjung City FC
3. Imigresen FC II
4. Johor Darul Ta’zim II
5. Selangor FC II
6. Kelantan WTS FC
7. Kedah FA
8. Machan FC
9. Kelantan Red Warriors FC
10. Bunga Raya FC
11. Malaysian University
12. Persatuan Bolasepak Perak
Tiga pasukan diberikan kelulusan bersyarat
13. Kedah Darul Aman (KDA)
14. Guar Syed Alwi (GSA FC)
15. Seoul Phoenix FC (Korea Selatan)