Liga A1 Semi Pro: Machan FC tarik diri gara-gara kos penerbangan

Liga A1 Semi Pro: Machan FC tarik diri gara-gara kos penerbangan


KUALA LUMPUR – Pasukan Machan FC yang berpengkalan di Kanowit, Sarawak sah menarik diri dari saingan Liga A1 Semi Pro susulan kos penerbangan yang semakin meningkat sekali gus menjadi beban bagi kelab itu.

Menerusi kenyataan kelab di laman media sosial, kelab itu mengakui tidak lagi mampu untuk menanggung kos penerbangan khususnya bagi menghadapi perlawanan di tempat lawan.

Presiden Machan FC, Azizi Fauzi memberitahu, kelab itu telah bergerak menggunakan dana sendiri sepanjang Liga A1 Semi Pro berlangsung sejak awal musim ini.

“Oleh kerana kekangan dana yang dihadapi oleh Machan FC di samping kos penerbangan yang semakin meningkat naik, dengan ini Machan FC mengumumkan untuk menarik diri daripada Liga A1 Semi Pro Malaysia.

“Pasukan Machan yang berasal dari Zon Tengah Sarawak di bawah Parlimen Kanowit adalah satu-satunya kelab tempatan yang mewakili Sarawak untuk ke Liga A1 Semi Pro Malaysia bagi menggantikan slot yang ditinggalkan oleh Sarawak United pada tahun lepas.

“Seperti semua sedia maklum, kami telah bergerak menggunakan dana sendiri sepanjang Liga A1 Semi Pro berlangsung.

“Kita juga telah mencuba untuk memohon dana daripada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak namun kita akur dengan jawapan menteri yang bajet kementerian tidak merangkumi penajaan untuk kelab-kelab Liga A1 yang dilihat sebagai Semi Pro,” tulisnya.

Azizi bagaimanapun menambah, selepas 12 perlawanan dan hampir enam bulan pasukan Machan FC bersaing dalam Liga A1 Semi Pro, pihak pengurusan kelab telah berbelanja hampir RM800,000 mengunakan wang sendiri.

Jelas beliau, ia membabitkan kos untuk pengangkutan sahaja di mana setiap perlawanan di tempat lawan mencecah RM35,0000 sekaligus membebankan operasi kelab.

“Pihak kelab bertanggungjawab penuh di atas apa yang berlaku tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak serta memohon maaf kepada semua pemain kerana hajat dan visi kelab untuk mengetengahkan bakat pemain tempatan bagi beraksi di peringkat kebangsaan tidak dapat diteruskan.

“Saya selaku Presiden Pasukan Machan FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Amateur Football League, Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak serta Sarawak Sports Corporation kerana membantu kami menyediakan venue sepanjang Liga berlangsung.

“Terima kasih juga kepada penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyokong perjuangan pasukan ini dan saya akur dan redha yang kita perlu berdamai dengan takdir. Sekian Terima kasih,” kata Azizi Fauzi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top