Fernandes (kiri) meraikan gol Casemiro pada aksi separuh akhir pertama UEL menentang Athletic Bilbao di San Mames.
MANCHESTER United kini berada di ambang perlawanan akhir Liga Europa (UEL) selepas kemenangan 3-0 ke atas Athletic Bilbao dalam separuh akhir pertama pada minggu lalu.
Kemenangan bergaya di Sepanyol itu meletakkan skuad Ruben Amorim dalam kedudukan selesa menjelang aksi timbal balik di Old Trafford pada Jumaat, dengan pertembungan menentang Tottenham Hotspur di pentas final kini semakin hampir menjadi realiti.
Walaupun berdepan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mengecewakan dengan 16 kekalahan dan kedudukan ke-15 dalam carta liga, United tetap menunjukkan taring di pentas Eropah.
Amorim mengakui keutamaan kini ditumpukan UEL sebagai satu-satunya peluang menyelamatkan musim, sekali gus layak secara automatik ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
“Kami kalah dalam liga tapi kami masih berjuang dalam UEL. Perlawanan Jumaat ini adalah yang paling penting buat kami,” tegas Amorim.
Kemenangan ke atas Bilbao banyak bergantung kepada prestasi kapten Bruno Fernandes yang menjaringkan dua gol di separuh akhir pertama.
Fernandes kini mencipta rekod dalam sejarah UEL apabila terlibat secara langsung dalam 31 gol daripada 32 perlawanan peringkat kalah mati, satu pencapaian luar biasa yang mengukuhkan statusnya sebagai tonggak utama United di pentas Eropah.
Tottenham pula membawa kelebihan 3-1 ke Norway menentang Bodø/Glimt.
Jika Spurs dan United mara, ia bakal menjadi final sesama kelab Inggeris yang keenam di peringkat Eropah.